KUALA LUMPUR 25 Feb. – Pakatan Harapan (PH) kini berada dalam tekanan mengembalikan kepercayaan rakyat apabila pakatan itu dilihat mengalami kesukaran melaksanakan manifesto yang dibentang sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dahulu.
Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, ia dapat dilihat apabila Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah mengumumkan pakatan itu akan menubuhkan satu seksyen khas bagi menyemak semula manifesto pilihan rayanya, semalam.
“Selepas kira-kira sembilan bulan berkuasa, kekurangan komitmen, prinsip serta kegagalan PH menunaikan janji pilihan raya telah membuka mata rakyat Malaysia yang menyokong pakatan itu pada PRU-14.
“Ramai yang merasakan negara tidak membangun malah semakin merosot di bawah pemerintahan PH (dan) harapan Malaysia baharu sekadar harapan palsu dari pemimpin PH untuk merebut kuasa dan kedudukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Selain itu, beliau turut melihat populariti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang semakin meningkat sebagai petanda kekecewaan rakyat Malaysia yang semakin bertambah apabila kepercayaan mereka dikhianati PH.
“Penubuhan seksyen khas baharu itu tidak menjamin janji pilihan raya akan terlunas. Ia juga tidak akan menenangkan atau meredakan kemahuan rakyat untuk melihat reformasi yang progresif untuk Malaysia yang lebih baik.
“Ramai pemimpin utama PH berulang kali ‘menjilat ludah’ sendiri dan lebih teruk lagi masih mahu ‘menegakkan benang yang basah’ atas kesilapan dan kegagalan mereka. Jelas, tiada tekad politik untuk berubah,” katanya. – UTUSAN ONLINE










