ALOR SETAR 27 Feb. – Para petani, penternak dan nelayan di negeri ini berharap agar Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mengotakan janji untuk mengembalikan semua subsidi kepada golongan itu dalam satu majlis di Yan dekat sini, Khamis lalu.
Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Kedah, Datuk Abdul Lateh Mohd. Saman berkata, para petani, penternak dan nelayan kini sedang menunggu janji berkenaan yang dibuat Salahuddin iaitu ketika Pakatan Harapan berkuasa sebagai kerajaan.
Beliau mengingatkan bahawa golongan berkenaan di seluruh negara tidak teragak-agak untuk mengadakan demonstrasi sekiranya janji itu gagal dikotakan.
“Kami sedang menunggu janji menteri dan semasa beliau (Salahuddin) berkunjung ke Kedah minggu lepas iaitu untuk mengembalikan semua subsidi walaupun kerajaan terpaksa berhutang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Salahuddin untuk mengembalikan semua subsidi berkaitan para petani, penternak dan nelayan meskipun kerajaan terpaksa berhutang dalam satu majlis di Yan dekat sini, baru-baru ini.
Abdul Lateh seterusnya mengingatkan supaya kerajaan menjadikan pengajaran mendapatkan pandangan semua peringkat daripada pemimpin Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), PPN dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) sebelum membuat sesuatu keputusan dasar berkaitan golongan berkenaan. – UTUSAN ONLINE










