Peruntukan 566 sekolah tahfiz samar - Utusan Malaysia

Peruntukan 566 sekolah tahfiz samar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Feb. – Pengumuman kerajaan iaitu semua sekolah tahfiz berdaftar boleh membuat permohonan untuk menaik taraf dan menyelenggara premis masing-masing bermula Mac ini menimbulkan persoalan, apakah nasib sekolah tahfiz yang masih belum lulus untuk pendaftaran penuh?

Hal ini kerana daripada 1,381 sekolah tahfiz di seluruh negara, hanya 815 sekolah tahfiz berjaya membuat pendaftaran penuh dengan kerajaan manakala 566 lagi hanya berstatus sekolah berdaftar sementara, masih dalam proses pendaftaran dan baru mahu mendaftar.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (Pinta), Mohd. Zahid Mahmood Al-Hafiz berkata, status pendaftaran itu mungkin akan menyebabkan 566 sekolah

MOHD. ZAHID MAHMOOD
MOHD. ZAHID MAHMOOD 

tahfiz tersebut gagal memperoleh sebarang peruntukan daripada kerajaan.

“Kita sedia maklum mengenai proses pendaftaran sekolah tahfiz yang ketat berikutan kerajaan mahu memastikan tahap keselamatan dan ke­selesaan pelajar diutamakan.

“Bagaimanapun, ada pengasas sekolah tahfiz berdepan de­ngan kekangan kewangan dan mereka ini juga perlu diberi perhatian oleh kerajaan. Bantuan kewangan perlu bagi memboleh­kan mereka menyediakan kemudahan tempat tinggal selesa untuk pelajar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof yang kerajaan menerusi Belanjawan 2019 telah memperuntukkan sebanyak RM50 juta kepada sekolah tahfiz berdaftar bagi tujuan menyelenggara dan menaik taraf premis masing-masing.

Sementara itu, Mohd. Zahid berkata, kerajaan perlu memastikan peruntukan diberikan kepada sekolah tahfiz itu disalurkan dengan adil dan saksama tanpa mengabaikan sekolah yang benar-benar memerlukan bantuan.

Katanya, pihaknya masih belum mendapat maklumat terkini mengenai proses permohonan peruntukan tersebut ketika ini dan berharap kerajaan memudahkan urusan itu demi kebaikan semua pihak.

“Apa pun kita bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana memberi peruntukan ini kepada sekolah tahfiz. Cuma kasihanilah juga sekolah tahfiz yang belum mendapat kelulusan untuk mendaftar secara penuh kerana mereka juga memerlukan bantuan kewangan bagi menambah baik operasi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN