HULU LANGAT 25 Feb.-Perubahan semula sokongan rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Barisan Nasional (BN) perlu bermula dan ditunjukkan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih ketika ini.
Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, perubahan keputusan pengundian di Semenyih perlu dilakukan sebagai maklum balas terhadap pemerintahan PH yang gagal membawa perubahan malah rakyat makin dalam keadaan terbeban dan tertekan.
“Apa yang dilakukan oleh kerajaan sekarang yang dapat kita beza dengan kerajaan dahulu? seperti langit dan bumi, tiada perubahan, tiada yang menyenangkan, apatah lagi ia merisaukan kita, membuat kita mengigau malam, takut akan apa-apa perkara yang boleh berlaku.
“Malam ini saya minta pengundi di Semenyih berubah, supaya kita tidak terus mengalami keadaan yang susah dalam kos hidup yang kini jelas berada dalam keadaan yang menderitakan rakyat. Keadaan ini memakan masa dan tak mungkin dapat dibaiki sehingga kita menukar segala-galanya semula,” katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam Program Sembang Santai di Pangsapuri Seri Dahlia, Bandar Seri Putra, Bangi dekat sini malam ini
Yang hadir sama, Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki.
Sementara itu, Tengku Razaleigh yang juga Ahli Parlimen Gua Musang berkata, ahli UMNO dan Pas perlu bersatu kerana hasilnya boleh membawakan kejayaan seperti yang telah ditunjukkan semasa PRK Cameron Highlands.
“Seperti rayuan pemimpin-pemimpin kita untuk PRK di Semenyih dan Cameron Highlands lalu adalah kita mesti bersatu, kalau orang lain tak mahu biarlah ini pakatan kita bersama, kita bersatu dan kita tengok perubahan di Semenyih.
“Saya percaya jika berlaku perubahan di sini, Selangor barangkali mudah kita petik dalam pilihan raya umum akan datang. Ia juga akan mendorong ramai rakyat supaya mengubah keadaan dalam negara kita yang dicintai ini, saya percaya itu boleh berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE











