LONDON 9 Feb. – Manchester City sekali lagi bakal diuji dalam perlawanan menentang kelab yang berada dalam kelompok enam teratas. Selepas membenam Arsenal, 3-1, Isnin lalu, sekali lagi anak-anak buah Pep Guardiola akan berdepan satu perlawanan penting menentang Chelsea di Stadium Etihad, esok.
City merampas kedudukan teratas Liga Perdana Inggeris daripada Liverpool berdasarkan kelebihan jaringan selepas menewaskan Everton 2-0, namun, skuad bimbingan Jurgen Klopp itu mempunyai kelebihan baki satu perlawanan dalam tangan.
Perlawanan antara City dan Chelsea, bakal menyaksikan pertembungan dua pengurus yang bersahabat baik iaitu Guardiola dan Maurizio Sarri. Bagi Chelsea, selepas diaibkan Bournemouth 4-0, kebangkitan dengan melakar kemenangan besar 5-0 ke atas Huddersfield, minggu lepas, mahu diteruskan Blues.
Bagaimanapun, lawan mereka kali ini bukanlah calang-calang pencabar kerana selaku juara bertahan, City sudah tentu mahu membawa pulang tiga mata penuh dan tidak rela Liverpool sekali lagi menjarakkan kedudukan di persada liga.










