Pernah terlepas ‘makan besar’ - Utusan Malaysia

Pernah terlepas ‘makan besar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pernah sekali tidak bersama keluarga untuk `makan besar’ pada malam Tahun Baharu Cina disebabkan komitmen kerja yang sehingga kini mengundang perasaan serba salah dalam hati pelakon Pauline Tan.

Kata Pauline, ketika itu dia baru saja berjinak-jinak dalam dunia seni dan menerima tawaran mengacarakan program Tahun Baharu Cina secara langsung di televisyen.

“Selepas tamat kerja, saya pulang ke rumah agak lewat sekitar pukul 1 pagi. Waktu itu semua saudara-mara sudah pulang ke rumah masing-masing.

“Memang saya rasa sedikit terkilan dan sedih. Iyalah, jumpa saudara mara bukannya selalu tetapi demi tanggungjawab karier seni, saya terpaksa mendahulukan komitmen.

“Sejak itu, saya sering bertanya kepada diri sendiri, andai ada lagi program siaran langsung di malam perayaan, adakah saya akan menerimanya?

“Sehingga sekarang saya tidak boleh memberi jawapan kerana saya pasti akan berada dalam persimpangan,” luahnya.

Apa pun, seperti tahun-tahun sebelum ini, berkumpul bersama keluarga adalah tradisi wajib yang menjadi amalan keluarga pelakon ini.

Suasana ‘makan besar’ adalah momen paling penting untuk mereka duduk semeja bertemu sanak saudara dan keluarga paling rapat yang barangkali selama ini sangat jarang bersua muka.

Menurut Pauline, setiap tahun dia sendiri mengambil kesempatan untuk bercuti panjang bagi meraikan hari indah tersebut bersama keluarga.

“Saya beruntung kerana tinggal tidak jauh dari rumah keluarga di Klang. Jadi, mudah untuk saya pulang dan membantu keluarga menyediakan juadah `makan besar’.

“Perjumpaan di meja makan setahun sekali sangat besar maknanya kepada keluarga kami,” kata naib juara Miss Universe Malaysia 2015 ini.

Juga menjadi tradisi keluarga Pauline untuk melancong bersama-sama ke luar negara. Tahun ini mereka sekeluarga memilih Ho Chi Minh, Vietnam.

“Tahun lalu kami bercuti di Pulau Boracay, Filipina. Kali ini, kami ke Vietnam pula. Amalan ini sudah menjadi tradisi keluarga,” katanya.

Tetap beri duit kepada keluarga

Bagi aktor dan juga penyanyi yang dicungkil bakat menerusi pertandingan nyanyian Star Quest 2011, Jordan Sen, Tahun Baharu Cina yang diraikan di kampung halaman di Seremban, Negeri Sembilan punya erti tersendiri.

Dia yang mengambil cuti dua hari sebelum perayaan turut menyediakan bajet untuk keluarga.

Meskipun Jordan anak bongsu daripada tiga beradik, namun tanggungjawab sebagai anak tidak diabaikan.

“Walaupun dalam tradisi dan adat masyarakat Cina tidak mewajibkan mereka yang belum berkahwin memberikan duit, tetapi saya tetap menghulurkan perbelanjaan untuk diberikan kepada ibu bapa.

“Memakai pakaian baharu dan berwarna merah melambangkan kegembiraan dan menjanjikan sinar kecerahan dalam kehidupan.

“Sepanjang bergelar anak seni, saya pernah juga tidak dapat bercuti lama untuk sambutan Tahun Baharu Cina. Jadi pada kali ini, saya tak mahu lepaskan peluang untuk bersama dengan keluarga,” jelas pelakon drama bersiri Sweet Delicacy yang sedang ditayangkan di saluran 8TV.

Tambah Jordan lagi, memandangkan rumah keluarganya menjadi tumpuan sanak saudara berkumpul setiap tahun, dia dan adik beradiknya akan bergotong-royong mengemas rumah.

“Pantang larang kaum Cina, tidak boleh menyapu pada hari perayaan kerana dikhuatiri ‘tersapu nasib baik’ yang dibawa bersama kedatangan tahun baharu.

“Semua amalan ini kami masih kekalkan dan diikuti turun-temurun. Menjelang Tahun Baharu Cina rumah saya memang sangat meriah,” akhirinya.

Jun Hoong kawal nafsu makan

KOMITMENNYA sebagai atlet terjun dan renang pernah menerbitkan rasa hiba di hati Cheong Jun Hoong setiap kali perlu berdepan dengan tanggungjawab kepada negara dan terpaksa mengorbankan musim perayaan.

Mengakui bukan mudah untuknya merayakan Tahun Baharu Cina, menurut Jun Hoong, kali terakhir dia tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Ipoh, Perak adalah dua tahun lalu.

“Syukur tahun ini saya dapat sambut Tahun Baharu Cina bersama keluarga. Walaupun cuti tidak lama, sekurang-kurangnya saya dapat bersama dalam tradisi ‘makan besar’. 

“Saya memilih untuk memakai blaus atau dress berwarna merah. Saya tidak pernah ada cheongsam dan berharap satu hari nanti akan memilikinya.

“Walaupun juadah yang disediakan ibu agak banyak, saya tetap kena kawal pemakanan kerana bimbang berat badan akan bertambah,” jelasnya yang sedang menjalani sesi fisioterapi selepas pembedahan yang dilakukan pada September tahun lepas.

Keluarga besar Daniel Lee

BAGI juara Malaysia Idol 2005 ini, makna perayaan tahun ini adalah dengan menjamu selera dengan pelbagai hidangan seiring dengan astrologi Cina iaitu Tahun Babi pada 2019. 

“Kalau nak tahu, Tahun Babi membawa maksud ‘makan banyak-banyak’. Itu yang saya faham dan diberitahu.

“Dalam keluarga saya, kami akan ikut apa sahaja yang nenek moyang ajar dan hingga kini masih menjadi amalan.

“Tahun ini keluarga saya berkumpul di Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Saudara-mara saya yang seramai lebih 500 orang akan berjumpa.

“Warna merah sudah menjadi kemestian dan dianggap ‘ong’ oleh orang Cina. Memang setiap tahun keluarga kami menyambutnya dengan meriah lebih-lebih lagi saudara yang jarang berjumpa akan meluangkan masa untuk bertemu dengan semua orang,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN