PUTRAJAYA – Pemohon yang layak menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2019 diminta mendaftar dan mengemas kini maklumat isi rumah untuk bayaran fasa kedua dan ketiga yang dijadual pada Mei dan Ogos depan.
Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, proses pendaftaran dan pengemaskinian maklumat isi rumah bermula semalam hingga 15 Mac depan itu dilaksanakan bagi memastikan hanya isi rumah yang layak menerima BSH.
Katanya, ia bagi memastikan sumber negara digunakan dengan berhemah serta tepat kepada golongan B40 dan mengelakkan ketirisan bantuan kepada golongan yang berada.
Jelasnya, pemohon yang layak boleh membuat permohonan dengan cara mengisi borang permohonan yang boleh didapati secara percuma di mana-mana cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Pusat Khidmat Hasil LHDN, Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDN atau memuat turun borang di portal rasmi BSH di https://bsh.hasil.gov.my.
Permohonan juga boleh dibuat secara dalam talian di portal yang sama. – Bernama











