KUALA LUMPUR 25 Feb. – Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (Permim) menggesa pihak berkuasa khususnya polis mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mewujudkan perasaan negatif antara kaum.
Timbalan Presiden Permim, Shaik Faridhudheen A. Nverdeen berkata, tindakan itu bagi mengekang gejala negatif yang boleh merosakkan perpaduan kaum di negara ini.
Justeru katanya, hanya dengan tindakan lebih tegas serta hukuman berlandaskan undang-undang akan mendidik semua pihak untuk tidak mempersendakan pegangan agama lain.
“Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini harus diambil serius oleh pihak berkuasa. Mereka harus dihadapkan ke mahkamah dengan kadar segera dan diberikan hukuman yang setimpal agar tidak ada individu atau pihak lain yang berani mencemarkan kesucian agama Islam di negara ini.
“Hanya apabila pesalah ini dihukum dengan lunas undang-undang yang sedia ada maka sesiapa yang berhajat untuk mempersendakan pegangan agama orang lain akan takut untuk berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










