JAKARTA 4 Feb. – Tindakan mengumumkan senarai 49 bekas pesalah rasuah yang bertanding dalam pilihan raya umum (Pemilu) yang dibuat Suruhanjaya Pemilihan Umum (KPU) dilihat tidak memadai dan perlu dilakukan dengan kaedah lebih berkesan.
Pengarah Eksekutif Perkumpulan untuk Pemilu dan Demokrasi (Perludem), Titi Anggraini berkata, senarai tersebut bukan sahaja perlu dipamerkan dalam laman web KPU, malah di semua pusat mengundi seluruh Indonesia.
Tambahnya, tindakan itu perlu kerana tidak semua pengundi memiliki akses kepada internet.
“Penyiaran senarai nama di pusat-pusat mengundi akan membantu pengundi mengenal pasti calon-calon yang pernah dipenjarakan kerana rasuah,” katanya seperti dilaporkan BBC Indonesia.
Pesuruhjaya KPU, Ilham Saputra pada Rabu lalu mengumumkan seramai 40 daripada 49 bekas penjenayah rasuah yang bertanding untuk Pemilu.
Parti Golkar mencatatkan jumlah calon (bekas pesalah rasuah) teramai dengan lapan orang diikuti Gerindra dengan enam orang.










