KUALA LUMPUR 26 Feb. – Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) berharap Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan merubah fikiran membenarkan mereka kembali dalam Liga Perdana musim ini kerana sudah bertemu penaja yang sedia menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain musim 2018 dan 2019.
Timbalan Presiden PFA, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan hadir di pejabat MFL hari ini pada tarikh akhir proses rayuan untuk mengemukakan dokumen sokongan.
Kata Abdul Karim, beliau berharap dokumen itu dapat meyakinkan Ahli Lembaga Pengarah MFL dalam membuat pertimbangan mengenai rayuan wakil Singa Utara sama ada boleh kembali bermain di Liga Perdana atau sebaliknya.
“Syukur Alhamdulilah hari ini kita telah dapat tunaikan janji kepada pihak MFL sebagaimana yang diberikan masa untuk kita serahkan dokumen-dokumen berkaitan tempoh rayuan.
“Sebenarnya hari ini kita bertemu MFL untuk serahkan dokumen berkenaan tajaan, kewangan dan perancangan kita berserta dengan dokumen surat sokongan untuk dibawa ke Ahli Lembaga Pengarah MFL bagi pertimbangan rayuan kita bermain semula di Liga Perdana,” katanya.
Utusan Malaysia difahamkan, Perlis sudah mendapat penaja baharu iaitu Tulangis Group, syarikat yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan Hanelang dan Terengganu City, selain dikaitkan mahu menaja Kelantan United.
Kata Karim, isu tunggakan gaji pemain musim 2018 dan 2019 akan dapat diselesaikan oleh penaja baharu andai mereka dibenarkan kembali menyertai liga.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan Perlis akan menggunakan alternatif lain antara salah satunya menggunakan geran tahunan jika Ahli Lembaga Pengarah MFL mengekalkan keputusan untuk membatalkan penyertaan Perlis.
“Berdasarkan apa yang telah pun kita persetujui bersama penaja dan jika pihak MFL memberi kebenaran untuk kita terus bermain di Liga Perdana, Perlis bersama penaja baharu yakin semua tunggakan gaji pemain 2018 dan 2019 akan diselesaikan.
“Sekiranya MFL mengekalkan keputusan membatalkan penyertaan Perlis, kita akan bincang balik dengan pihak MFL sebab kita terima maklumat baru-baru ini ada peluang untuk kita dapatkan semula geran tahunan daripada MFL dan tujuannya tidak lain tidak bukan iaitu adalah mahu menyelesaikan tunggakan gaji,” ujarnya.
Sementara itu, Abdul Karim menafikan dakwaan yang dibuat tujuh pemain Perlis musim 2018 yang mengaitkannya skandal menyeleweng wang para pemain dengan menegaskan bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membuktikan integriti beliau. – UTUSAN ONLINE











