Perjuangan Nicol sudah berakhir - Utusan Malaysia

Perjuangan Nicol sudah berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASRAT ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David meneruskan kemaraan pada Kejohanan Skuasy Dunia di Chicago, Amerika Syarikat (AS) tidak kesampaian apabila tersingkir pada pusingan ketiga selepas tewas 11-9, 4-11, 4-11, 5-11 kepada pemain Perancis, Camille Serme awal pagi semalam.

NICOL akur gagal memburu gelaran dunia kesembilan selepas tewas kepada Serme pada Kejohanan Skuasy Dunia di Chicago, AS awal pagi semalam.

Kekalahan itu menyaksikan peluang Nicol memburu gelaran dunia kesembilan lebur memandangkan kejohanan di Chicago itu merupakan Kejohanan Dunia terakhirnya sebelum menggantung raket pada penghujung musim Jelajah Persa­tuan Skuasy Profesional (PSA) Jun depan.

Meskipun gagal meneruskan kemaraan, namun pemain berusia 36 tahun itu mengakui gembira apabila berpeluang menyertai kejohanan paling berprestij dalam sukan berkenaan.

“Saya akui sangat gembira untuk menjadi sebahagian daripada kejohanan dunia kali ini. Semua orang tahu kejohanan ini menawarkan hadiah wang tunai ke­seluruhan bernilai AS$1 juta (RM4.067 juta), jadi ia merupakan kejohanan berprestij.

“Memandangkan ini aksi terakhir saya pada Kejohanan Dunia, saya ingin tegaskan bahawa saya sentiasa memberikan segala-galanya. Saya sangat teruja untuk sampai ke tahap ini dan saya gembira dengan perlawanan hari ini (semalam),” kata Nicol.

Pada perlawanan semalam, pemain kelahiran Pulau Pinang itu terlebih dahulu berada di depan selepas mencatat kemenangan 11-9 pada set pertama, sebelum Serme yang juga pilihan kelima kejohanan bangkit dalam tiga set seterusnya.

Terdahulu, bekas pemain No. 1 dunia itu mengumumkan bakal menamatkan ka­riernya sebagai pemain pada Jun depan selepas mengabdikan diri dalam sukan tersebut selama lebih 20 tahun.

Sebagai rekod, Nicol memegang status sebagai pemain wanita paling banyak memenangi gelaran dunia apabila menjulang kejuaraan tersebut sebanyak lapan kali antara 2005 dan 2014.

Selain itu, dia juga meme­gang rekod sebagai pemain wanita paling lama meme­gang status sebagai pemain No. 1 dunia, iaitu selama 109 bulan bermula 2006 hingga 2015.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN