‘Perjalanan saya masih jauh’ - Utusan Malaysia

‘Perjalanan saya masih jauh’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENJADI pemain bola sepak profesional adalah idaman kepada Luqman Hakim Shamsudin sejak dari kecil, namun, penyerang skuad Bawah 19 (B-19) negara itu sedar perjalanannya masih jauh dan banyak ilmu yang perlu dipelajari.

Nama Luqman meniti di bibir peminat bola sepak tempatan selepas muncul penjaring terbanyak Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-16, tahun lalu, bagaimanapun, perjuangan Malaysia setakat di peringkat kumpulan.

Bakatnya mula dihidu sejak dia berusia tujuh tahun dan bermula dari situ anak kelahiran Kota Bahru itu tidak menoleh kebelakang dan terus mengejar cita-citanya untuk menjadi pemain bola sepak profesional.

“Saya kemudian menyertai pasukan Kids Soccer sehingga darjah enam dan saya juga dipilih untuk mewakili negara menyertai Piala Cappy di Croatia ketika berusia sembilan.

“Ketika saya berusia 10 tahun, saya mendapat panggilan untuk menyertai skuad projek 2019 yang kini dikenali NFDP (Program Pembangunan Bola Sepak Negara). Pencapaian tertinggi saya setakat ini adalah muncul penjaring terbanyak kejuaraan AFC, tahun lalu, serta Piala Cappy.

“Dalam Piala Cappy kami mendapat tempat kedua selepas tewas 0-3 kepada Dynamo Zagreb dan saya dinobatkan sebagai penjaring terbanyak selepas meledakkan lapan gol.

“Bagi saya, kejayaan yang saya kecapi itu masih belum cukup untuk dibanggakan dan saya tidak terfikirpun untuk berbangga diri atau menganggap diri sudah bagus. “Saya sudahpun melupakan kejayaan saya menjadi penjaring terbanyak pada tahun lalu. Tahun ini adalah hidup baharu saya dan pastinya 2019 lebih mencabar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Selain Luqman, Noah Botic dari Australia dan Shoji Toyama (Jepun) turut dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dalam kejuaraan AFC B-16, tahun lalu, di Kuala Lumpur selepas ketiga-tiga mereka menjaringkan lima gol.

Luqman yang mengambil aliran Tasawwur dan akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini, berkata, dia tetap mengutamakan pelajarannya dengan membahagikan masa di antara bola sepak dan pelajaran dengan seimbang.

“Setiap pagi saya akan berlatih dan sesi persekolahan bermula pukul 10 pagi hingga 2.30 petang. Selepas itu, pukul 5 petang kami sambung lagi latihan dan pada sebelah malam, selepas solat maghrib saya akan membuat ulangkaji,” katanya yang menuntut di Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×