Perangi rasuah habis-habisan - Utusan Malaysia

Perangi rasuah habis-habisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKARANG ini tengok saja televisyen mesti ada berita orang kena tangkap kes rasuah. Selak akhbar akan jumpa dua atau tiga berita berkenaan rasuah. Begitu juga kalau kita melayari portal-portal berita mesti tidak terlepas daripada cerita-cerita berkenaan rasuah.

Mereka yang ditahan dan didakwa terlibat rasuah ini pula daripada orang atasan hingga ke peringkat bawahan.

Ada yang membabitkan kerani pejabat kerajaan mahupun swasta. Pada masa sama ada juga pengarah-pengarah syarikat yang diheret sambil memakai baju oren kerana salah laku rasuah.

Begitu juga tokoh-tokoh politik turut bergari dan kena turun naik mahkamah atas dakwaan rasuah.

Daripada paparan-paparan berita ini, dan daripada kumpulan orang atau individu yang terbabit dengan rasuah ini, ia seolah-olah memberi gambaran gejala negatif dan tidak bermaruah ini telah membarah dalam masyarakat kita.

Jika mereka yang berpangkat, berjawatan dan berpendidikan tinggi tidak segan-silu mengambil dan memberi rasuah, maknanya masyrakat kita sudah hilang pekerti mulia. Mereka hidup dengan berlandaskan nafsu serakah semata-mata tanpa memikirkan perbuatan itu bukan sahaja salah di sisi undang-undang, tetapi juga ditegah oleh semua agama.

Amalan rasuah membawa pelbagai impak negatif seperti keruntuhan moral dan penindasan di kalangan masyarakat, kerosakan dan ancaman kepada negara, serta menggugat keselamatan dan keamanan.

Berdasarkan kepada imej-imej perasuah yang memenuhi media massa, tahun 2019 menampakkan Malaysia gigih menghapuskan pelbagai bentuk gejala tidak sihat termasuklah amalan rasuah.

Kerajaan baharu Malaysia memerangi jenayah rasuah bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam semua bentuk seperti kes mengatur perlawanan badminton yang melibatkan pemain badminton profesional negara, gejala rasuah dalam liga bola sepak, kes-kes penjawat awam, pemegang pentadbiran negara dan syarikat. Malaysia kini dilihat cepat dan tangkas membina integriti yang tinggi sehingga dunia mula memandang Malaysia.

Berdasarkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), terdapat empat kesalahan rasuah yang utama iaitu: pertama: Meminta/Menerima rasuah [seksyen 16 & 17(a)]. Kedua: Memberi suapan [seksyen 17(b)]. Ketiga: Mengemukakan tuntutan palsu [Seksyen 18]. Keempat: Salah guna kuasa [Seksyen 23].

Secara umumnya, hukuman bagi kesalahan rasuah ialah dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua puluh tahun dan didenda tidak kurang dari lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Suapan rasuah boleh jadi dalam bentuk wang tunai, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan (seperti seks), jawatan, upah, diskaun, pinjaman, tambang tiket penerbangan percuma sebagai balasan bagi tugas rasmi dan sebagainya.

Secara umumnya, rasuah merupakan suatu perbuatan sama ada memberi atau menerima sesuatu suapan yang berbentuk wang tunai atau barangan berharga atau perkhidmatan sebagai upah bagi melakukan suatu perbuatan yang mempunyai kaitan dengan bidang tugas seseorang.

Negara pernah digemparkan dengan skandal rasuah dalam sukan bola sepak pada tahun 1994 dan 1995 di mana lebih 100 pemain serta jurulatih disyaki mengatur keputusan perlawanan.

Jika terbukti bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman gantung daripada terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak seumur hidup dan ada juga yang boleh dibuang daerah.

Ini adalah kerana Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai kuasa berdasarkan klausa tertentu bagi menjatuhkan hukuman mengikut kesalahan tatatertib yang dilakukan oleh seseorang pemain. Manakala mahkamah pula akan

menentukan keputusan atau hukuman terhadap mana-mana pemain atau individu yang didapati bersalah hasil siasatan yang dilakukan pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Rasuah ibarat virus. Rasuah menjejaskan pemerintahan dan pentadbiran sesebuah negara. Ramai pemegang tampuk negara dunia digulingkan akibat tuduhan rasuah dan penyalahgunaan kuasa contohnya Presiden wanita pertama Korea.

Usaha membendung rasuah adalah tanggungjawab semua pihak dan lebih tepat lagi usaha membanteras rasuah dimulai dengan kepemimpinan negara. Malaysia menunjukkan prestasi yang amat signifikan dalam usaha gigih memerangi rasuah dan memperjuangkan isu integriti sehingga membuka mata dunia.

Ini terbukti apabila Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dijemput menyampaikan syarahan dan ucaptama di dua forum penting berkaitan antirasuah antarabangsa sempena lawatan kerja tiga hari ke Austria pada Januari 2019. Forum pertama adalah syarahan Dr. Mahathir di International Anti-Corruption Academy diikuti dengan ucaptama Persidangan Tahunan ke-10 dan Mesyuarat Agung Persatuan Antarabangsa Pihak Berkuasa Pencegahan Rasuah (IAACA), di Pusat Antarabangsa Vienna (VIC).

Antara isu yang diketengahkan ialah agenda pembaharuan Malaysia serta pengalaman negara memerangi rasuah kepada masyarakat antarabangsa, cara Malaysia menangani gejala rasuah dalam negara, inisiatif pencegahan rasuah kerajaan dan usahanya dalam menambah baik tadbir urus.

Bidang kuasa perundangan SPRM di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 adalah khusus untuk menyiasat dan mencegah sebarang bentuk perlakuan rasuah serta salahguna kuasa.

Antara akta-akta lain yang berkaitan adalah Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694), Akta Pencegahan Rasuah 1997, Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Tatacara Jenayah, Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (Akta 91), Akta Keterangan 1950 (Akta 56), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), Akta Perlindungan Saksi 2009 (Akta 696) dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711).

Akta SPRM 2009 juga memperuntukkan kuasa kepada SPRM untuk menyiasat mana-mana kesalahan berkaitan rasuah.

Tindakan agresif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam membendung rasuah telah membantu Malaysia dalam capaian kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2017.

Tindakan itu merangkumi tangkapan dan pendakwaan yang membawa tertuduh ke muka pengadilan. Beberapa kes melibatkan dana rakyat dan salah guna kuasa dalam kalangan penjawat awam kanan telah disiasat dan dituduh seperti

1MDB, kes melibatkan Felda, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah dan beberapa kes lagi.

Sikap mudah terpengaruh dengan kemewahan, tamak, kelemahan pihak pengurusan, penyalahgunaan kuasa dan kewujudan peluang menjadi antara punca utama gejala rasuah sukar dibendung. Amalan rasuah bukan sahaja mencemari imej negara malah imej pihak yang terlibat di samping menggugat kualiti kerja.

Memerangi jenayah rasuah oleh kerajaan baharu Malaysia merupakan satu transformsi yang mampu memperkasakan identiti negara di samping mewujudkan masyarakat bebas dari belenggu gejala tidak sihat ini di semua peringkat.

Roos Niza Mohd Shariff adalah Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang, Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN