Penyokong 'serang' MFL pula - Utusan Malaysia

Penyokong ‘serang’ MFL pula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 21 Feb. – Kecewa dengan pengguguran Perlis daripada Liga Malaysia (Liga M), penyokong melepaskan kemarahan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kerana didakwa gagal meneliti latar pengurusan serta kewangan pasukan itu sebelum menaikkan mereka ke Liga Perdana.

Perlis yang sebelum itu bersaing dalam Liga FAM mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Perdana selepas kelab yang kini dikenali sebagai Petaling Jaya (PJ FC) City FC itu dinaikkan taraf ke Liga Super susulan penarikan diri Felcra FC.

Semalam, Ahli Lembaga Pengarah MFL sebulat suara menggugurkan Perlis daripada saingan Liga M selepas mendapati sumber pendapatan persatuan bola sepak negeri itu, termasuk penajaan tidak mencukupi untuk menguruskan pasukan bersaing musim ini.

“MFL secara jujurnya lemah dalam situasi ini. Perlu selidik kewangan kelab-kelab yang berdaftar dalam Liga Malaysia,” tulis pemilik Facebook Wan Rezwan.

“Macam mana MFL boleh luluskan Perlis main Liga Perdana,” soal Azoy Oye.

“Apa jadi ni…Pasukan negeri Liga Perdana tak dapat, Liga FAM pun tak ada. Manalah Perlis nak pergi main ni.. MFL punya silap juga ni,” tulis Will Kt.

Peminat bola sepak seluruh Malaysia turut menyuarakan rasa simpati terhadap pemain serta barisan jurulatih Perlis, begitu juga penyokong Singa Utara yang sebelum ini kelihatan amat bersemangat untuk menyokong pasukan mereka pada musim baharu.

Sementara itu, Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, tindakan yang dikenakan terhadap Perlis adalah bukti ketegasan badan itu dalam mengatasi masalah gaji yang sering membelenggu pemain.

Tindakan keras seperti itu turut memberi isyarat kepada pasukan lain bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah isu gaji atau boleh berdepan penyingkiran.

“Apabila MFL tegas, semua kata MFL kejam. Apabila MFL tidak tegas, pemain-pemain dan staff menjadi mangsa tak dapat gaji.

“Saya menyeru kepada semua, tolonglah ada sikap keperimanusiaan dan tanggungjawab. Jangan mudah lepas tangan. Ini berkaitan dengan periuk nasi orang,” tulis Tunku Ismail dalam Twitter.

Menurut Tunku Ismail lagi, yang membuat keputusan tersebut adalah anggota liga iaitu semua pasukan bertanding.

“Peluang kepada mana-mana pasukan harus diberi. Tetapi apabila pasukan tidak ikut peraturan, tindakan akan diambil. Yang Liga Super pun masih banyak berutang,” katanya lagi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN