LONDON 1 Feb. – Liverpool dan Manchester United mungkin antara pasukan yang memiliki sejarah permusuhan terhebat dalam bola sepak, malah pertemuan kedua-dua gergasi Liga Perdana Inggeris ini sering menjadi tumpuan peminat.
Bagaimanapun di luar padang, pemain mereka sebenarnya amat profesional dan memiliki semangat kesukanan tinggi.
Baru-baru ini, penyerang sensasi Liverpool, Mohamed Salah dan bintang tengah United, Paul Pogba dipertemukan dalam satu sesi fotografi syarikat barangan sukan gergasi, Adidas.
Kedua-duanya tampak gembira dapat bertemu, malah berkongsi gambar mereka dalam media sosial.
“Bekerjasama dengan Raja Mesir,” tulis Pogba yang memuat naik gambarnya bersama Salah di Twitter.
Salah menemui pemain antarabangsa Perancis itu selepas Liverpool diikat Leicester 1-1 do Anfield, Rabu lalu.
Biarpun gagal mengutip tiga mata, Liverpool bagaimanapun tetap melebarkan jurang kepada lima mata, sekali gus masih berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris.
Sementara itu, Pogba menikmati kebangkitan semula skuad Red Devils sejak diambil alih Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengganti pengurus terdahulu, Jose Mourinho.
Dia menjaringkan gol keenamnya dalam lapan perlawanan di bawah bimbingan jurulatih dari Norway itu, dengan keputusan seri 2-2 ketika menentang Burnley di Old Trafford Selasa lalu.- AGENSI











