Penyelenggara jentera maut dihempap jentolak - Utusan Malaysia

Penyelenggara jentera maut dihempap jentolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Seorang penyelenggara jentera warga Bangladesh maut selepas dihempap sebuah jentolak di kawasan kitar semula besi buruk di Jalan Emas, Chan Sow Lin di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Md. Sharif, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan anggota badan.

Difahamkan, seramai enam pegawai dan anggota bomba bersama sebuah jentera telah dikerah ke lokasi kejadian.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Pudu, Mohd. Zain Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 7.10 malam oleh orang awam.

“Sebaik tiba, kita mendapati mangsa telah berada di bawah jentolak tersebut akibat dihempap jentera berkenaan.

“Kita telah mengeluarkan mangsa dengan bantuan kren yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, siasatan awal mendapati mangsa sedang menyelenggara jentolak berkenaan.

“Mangsa dipercayai berada di bawah jentolak berkenaan untuk kerja-kerja penyelenggaraan sebelum terbabit dalam kejadian tersebut.

“Jentolak berkenaan kemudian telah bergerak sendiri sebelum menghempap mangsa,” jelasnya.

Operasi selesai sepenuhnya kira-kira pukul 9 malam dan mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN