Penjawat awam di Perlis perlu ubah minda keluar zon selesa - Raja Perlis - Utusan Malaysia

Penjawat awam di Perlis perlu ubah minda keluar zon selesa – Raja Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU 19 Feb. – Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah mahukan perubahan minda yang lebih positif dalam budaya kerja para penjawat awam di negeri ini.

Baginda bertitah, perubahan yang dimaksudkan adalah berubah cara kerja ke arah yang lebih mesra rakyat dan segera keluar daripada zon selesa.

“Selain itu, sebagai penjawat awam, mestilah sentiasa menepati masa, menyegerakan pelaksanaan terhadap segala tanggungjawab yang diamanahkan dengan tahap kerja yang berkualiti,” titah baginda.

Memuatkan artikel berkaitan…

Baginda bertitah demikian semasa berkenan berangkat menerima sembah menghadap pengenalan oleh Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri yang baharu, Tuan Azman Mohd Yusof, 52, selama kira-kira sejam di Balai Menghadap Biru Istana Arau di sini, hari ini.

Berangkat sama mengiringi baginda, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuan Azman menggantikan Datuk Dr. Syed Omar Sharifuddin Syed Ikhsan yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya pada Januari lalu.

Tuan Azman yang melapor diri bertugas di negeri pada semalam, sebelum ini menyandang jawatan sebagai Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak 1 Oktober tahun lalu.

Beliau berpengalaman luas dengan menyandang beberapa jawatan penting iaitu Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selama tiga tahun.

Tuan Azman juga pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Bahagian Perundingan Pengurusan 1 di Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Jabatan Perdana Menteri selama setahun dan empat bulan.

Tuan Azman memiliki latar belakang pendidikan di dalam Master in Public Policy (MPP) daripada Graduate School of Policy Science, Saitama University, Jepun (1997-1999), Diploma Pengurusan Awam (Kepujian) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) (1991-1992) serta Bachelor of Science (Hons.) in Public Administration daripada West Texas State University, Amerika Syarikat (1986-1989). – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×