Peniaga wanita rugi hampir setengah juta ringgit ditipu Macau Scam - Utusan Malaysia

Peniaga wanita rugi hampir setengah juta ringgit ditipu Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 27 Feb. – Seorang wanita berusia 53 tahun dari Sungai Ara, Bayan Lepas di sini kerugian sebanyak RM476,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam.

Mangsa yang merupakan peniaga air soya itu pada mulanya menerima panggilan telefon daripada individu yang mendakwa sebagai Sarjan Azahari yang bertugas di ibu pejabat polis Seremban, Negeri Sembilan.

Suspek mendakwa kononnya nama mangsa telah disalahgunakan oleh pihak lain untuk dua urusan pembelian yang tertunggak dengan Public Bank selain mempunyai kes jenayah yang  bersabit hukuman gantung.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mangsa kemudiannya diminta menghubungi pegawai lain yang dikenali sebagai Lee Ahh Jun kononnya akan membantu membersihkan namanya.

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan, disebabkan terlalu takut dengan dakwaan itu, mangsa kemudiannya menuruti arahan suspek supaya memindahkan wang ke dalam akaun bank RHB dan CIMB di Barat Daya di sini.

Kata beliau, pemindahan pertama dilakukan mangsa pada 31 Januari lalu membabitkan jumlah RM200,000 kira-kira pukul 10.20 pagi.

“Sejak itu, mangsa telah membuat lima lagi pemindahan wang membabitkan nilai sebanyak RM31,000; RM40,000; RM70,000; RM70,000 dan RM65,000 ke satu akaun RHB.

“Kesemua wang itu adalah duit simpanan mangsa termasuk yang disimpan di dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, selepas memindahkan semua wang itu, mangsa akhirnya menyedari telah menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam sebelum membuat laporan polis semalam.

Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Anbalagan terus mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang meminta mereka memindahkan wang ke akaun tertentu.

“Mereka sepatutnya merujuk kepada pihak berkuasa atau pihak bank terlebih dahulu dan saya berharap masyarakat lebih berhati-hati dan peka apatah lagi kes sebegini sudah terlalu kerap dilaporkan berlaku,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN