KUANTAN – Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes kehilangan cincin batu delima bernilai RM2.89 juta semasa kejadian Ahad lalu di kompleks beli belah Sky Avenue Genting Highlands, Bentong.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, lelaki berusia 46 tahun tersebut diberkas di Jalan Anuar, Bentong pada pukul 4.30 petang semalam.
“Lelaki tempatan itu adalah pengusaha khidmat sewaan kereta mewah dan tinggal di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Dia juga mengaku telah lama mengenali suspek.
“Pada hari kejadian, dia memandu kereta jenis Toyota Vellfire yang disewa dua lelaki warganegara China itu untuk ke Genting Highlands,” kata Mohd. Wazir.
Beliau berkata demikian mengulas perkembangan siasatan kes seorang lelaki China melarikan cincin batu delima seberat lima karat ketika kejadian pukul 12.50 tengah hari di Genting Highlands pada 24 Februari lalu.
Dalam kejadian itu, lelaki China berusia 50-an tersebut meminta kebenaran daripada jurujual kedai emas di Sky Avenue Mall, Genting Highlands untuk membelek cincin batu delima berkenaan.
Selepas 20 minit, suspek memulangkan cincin itu dan beredar meninggalkan tempat kejadian sebelum jurujual tersebut menyedari ia telah ditukar dengan cincin palsu yang 99 peratus hampir menyerupai yang tulen.
“Lelaki tempatan itu mengaku mengenali dan berkawan dengan kedua-dua suspek serta pernah beberapa kali menghantar mereka dari Jalan Petaling, Kuala Lumpur ke Genting Highlands sebelum ini.
“Dia bersama kedua-dua suspek turut menaiki penerbangan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur untuk ke Vietnam berselang beberapa jam selepas turun dari Genting Highlands pada hari kejadian,” tambah Mohd. Wazir.
Ujar Mohd. Wazir lagi, lelaki tempatan itu kembali ke negara ini pada Selasa lalu sebelum ditangkap petang kelmarin. – K! ONLINE












