JERANTUT 9 Feb. – Seorang peniaga cedera parah selepas tergelincir ketika sedang mendaki Bukit Merah, Felda Padang Piol di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, Norlizawati Mohamed Nawi, 35, cedera di bahagian kepala dan pinggang selepas terjatuh ketika menuruni bukit berkenaan.
Rakan mangsa, Norizan Idris, 36, berkata, dia bersama mangsa dan dua lagi rakannya mendaki bukit berkenaan pada pukul 8 pagi.
“Kami tiba di puncak bukit dengan ketinggian 370 meter kira-kira sejam kemudian dan bergerak turun semula selepas itu.
“Ketika berada di ketinggian 300 meter, Norlizawati tiba-tiba tergelincir,” katanya kepada Utusan Online di sini hari ini.
Menurut Norizan, dia bersama-rakannya meminta bantuan daripada pendaki lain yang berada di tempat kejadian sebelum menghubungi pasukan penyelamat.
“Terdapat pendarahan di bahagian belakang kepala Norlizawati selain cedera di pinggang menyebabkan pasukan bomba dan penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa mengusungnya untuk dibawa turun ke kaki bukit,” ujarnya.
Tambahnya, Norlizawati memang gemar mendaki terutama Bukit Merah dan Bukit Seladang di Jerantut yang mana kejadian itu adalah yang pertama kali menimpanya.
Sementara itu, Pegawai Bomba Kanan II, Osman Malik dari Balai Bomba dan Penyelamat Jerantut berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.19 pagi dan empat anggota bergegas ke lokasi kejadian.
“Semasa tiba di tempat kejadian, beberapa anggota APM telah tiba lebih awal dan menguruskan mangsa untuk dibawa turun menggunakan alat pengusung.
“Mangsa dihantar ke Hospital Jerantut untuk menerima rawatan,” katanya. – UTUSAN ONLINE










