JOHOR BAHRU 18 Feb. – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang pengurus syarikat dan seorang penjawat awam kerana kemuka tuntutan palsu di Pejabat SPRM Cawangan Segamat pada 2.30 petang semalam.
Hasil siasatan dijalankan mendapati, kedua-dua suspek bersubahat mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM7,200 kepada Institut Latihan Perindustrian (ILP) Tangkak berkaitan satu program Kursus Pengurusan Organisasi Efektif, yang mana kursus tersebut tidak dilaksanakan.
Kedua-dua suspek berusia lingkungan 40-an adalah seorang pengurus syarikat dan seorang lagi adalah Penolong Pegawai Tadbir yang bertugas di ILP Tangkak.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.
Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan Mahkamah Sesyen Segamat telah membenarkan tempoh tahanan reman selama 5 hari terhadap kedua-dua suspek bermula hari ini. – UTUSAN ONLINE










