KUALA LUMPUR 25 Feb.- Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu beliau menghargai pengesahan yang buat Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) mengenai tiada sebarang kemasukan wang ke dalam akaun Pas daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Jelas Abdul Hadi, kenyataan tersebut juga membersihkan nama parti tersebut daripada tuduhan yang tidak berasas.
“Saya mengucapkan terima kasih dan menghargai pengesahan yang dibuat oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM (Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull) bahawa tiada kemasukan sejumlah RM90 juta ke dalam akaun Pas daripada mana-mana pihak termasuk yang ditohmahkan daripada 1MDB.
“Kenyataan ini sekali gus ‘membersihkan’ Pas daripada tuduhan fitnah yang tidak berasas selama ini dan membuktikan komitmen Pas untuk memelihara prinsip integriti dan ketelusan yang tinggi,” katanya dalam laman Facebook miliknya malam semalam.
Tambahnya lagi, beliau turut mendoakan agar Allah memberikan kebaikan dan kekuatan yang berterusan kepada SPRM agar dapat menjalankan tugas dengan penuh ikhlas dan profesional.
Semalam, Mohd. Shukri sekali lagi mengesahkan tiada dana 1MDB dimasukkan ke dalam akaun rasmi Pas.
Katanya, berdasarkan siasatan SPRM setakat ini tidak berlaku kemasukan RM90 juta yang dikatakan dari 1MDB ke dalam akaun Pas. – UTUSAN ONLINE










