SABAK BERNAM – Kegiatan pengedaran dadah seorang lelaki warga Myanmar dikenali ‘Janggut’ sejak empat tahun lalu tumpas selepas diberkas di Jalan Pantai, Bagan Sungai Besar, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian pukul 11 pagi itu, suspek berusia 44 tahun ditahan ketika sedang berkhayal di bawah pengaruh dadah.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintenden Nor Azmi Isa berkata, suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah itu amat dikehendaki polis selepas mengedar dadah di daerah ini sejak empat tahun lalu.
“Pemeriksaan terhadap beg silang dimiliki suspek menemui dua peket plastik lut sinar disyaki dadah jenis heroin seberat 105.83 gram.
“Nilai dadah tersebut dianggarkan RM1,500,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Kata beliau, ujian air kencing terhadap suspek mendapati
positif dadah jenis heroin.
Ujar Nor Azmi, bagaimanapun semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek kini direman selama dua minggu bermula semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” jelasnya.
Dalam pada itu, Nor Azmi menegaskan kawasan Bagan Sungai Burung bebas daripada sebarang kegiatan dadah berikutan operasi tanpa henti yang dijalankan pada tahun lalu.
“Berdasarkan rekod, seramai 56 individu ditahan melibatkan kes penyalahgunaan dadah di kawasan terbabit sepanjang tahun lalu.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 30 daripadanya melibatkan Seksyen 12(2); 17 individu bagi Seksyen 15(1)(A); lapan bagi Seksyen 39A (1) dan seorang di bawah Seksyen 39B,” katanya. -K! ONLINE










