PETALING JAYA – Kerajaan mengumumkan pengecualian duti setem bagi surat cara pembelian rumah untuk kediaman berharga sehingga RM1 juta.
Tawaran ini dibuka sepanjang Kempen Pemilikan Rumah yang bermula dari 1 Januari lalu sehingga 30 Jun depan.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, duti setem bagi surat perjanjian pinjaman turut dikecualikan bagi rumah berharga sehingga RM2.5 juta sepanjang tempoh tersebut.
“Inisiatif ini bertujuan untuk mengatasi masalah kediaman tidak terjual yang telah memberikan impak negatif kepada industri hartanah negara.
“Pengecualian duti setem ini hanyalah untuk pembeli warganegara Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi mengumumkan penganjuran ekspo hartanah anjuran Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara, N. Jayaselan dan Presiden Rehda, Datuk Soam Heng Choon.
Baru-baru ini, kerajaan turut melancarkan Dana Rumah Mampu Milik bernilai RM1 bilion.
Guan Eng menjelaskan, berdasarkan data daripada Pusat Maklumat Harta Tanah Negara, bilangan rumah tidak terjual sehingga suku ketiga tahun lalu berjumlah 30,115 unit iaitu peningkatan sebanyak 48 peratus berbanding tahun sebelumnya, melibatkan nilai berjumlah RM19.5 bilion.
Rehda bakal menganjurkan ekspo hartanah yang diadakan di seluruh negara bermula di Pulau Pinang pada 7 hingga 10 Februari depan yang menawarkan kediaman dengan diskaun sekurang-kurangnya 10 peratus kepada pengunjung.
Ekspo utama akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 Mac dengan sasaran seramai 50,000 pengunjung dan dijadualkan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Jayaselan menjelaskan, pihak kementerian memberikan fleksibiliti kepada pemaju untuk memberikan promosi berbentuk barangan seperti kabinet atau barangan elektrik untuk pembelian rumah tahun ini.
Jelasnya, sebelum ini pihak pemaju tidak dibenarkan untuk menawarkan barangan sedemikian dalam sebarang iklan mahupun aktiviti promosi mereka.










