KLANG – Seorang pengawal keselamatan sebuah pasar raya berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh adik iparnya di sebuah kediaman di Taman Sentosa antara Disember tahun lalu sehingga 19 Februari lalu.
Tertuduh, Muhammad Johari Ng Abdullah, 60, mengangguk faham sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Muhammad Azzam Zainal Abidin.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang merupakan mualaf.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa telah melakukan kesalahan bunuh hingga menyebabkan kematian seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU), Nur Izzati Ghazali, 26.
Perbuatan tersebut dilakukan di sebuah Apartment Perdana Villa, Jalan Temenggong 19, Off Jalan Jati, di sini antara pukul 8 malam hingga pukul 1.30 petang pada 4 Disember 2018 hingga 19 Februari 2019.
Berdasarkan pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.
Muhammad Azzam tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan tertuduh menghadapi pertuduhan bunuh sebelum menetapkan 2 April depan untuk sebutan semula kes dan tarikh serahan laporan kimia dan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Suhaili Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam, Ethan W.H Tan.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang wanita orang kurang upaya kerdil maut dipercayai didera oleh abang iparnya dalam kejadian di Taman Sentosa di sini pada Selasa lalu.
Mangsa yang berusia 26 tahun meninggal dunia pada pukul 2 petang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada awalnya, pihaknya menerima laporan dari pada abang ipar si mati berusia 60 tahun yang memaklumkan mangsa meninggal dunia di rumahnya.
Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut dan bedah siasat mendapati mangsa dipercayai meninggal dunia akibat didera. – K! ONLINE










