Penganggur dipenjara, sebat kerana culik, cederakan anak saudara - Utusan Malaysia

Penganggur dipenjara, sebat kerana culik, cederakan anak saudara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM – Seorang penganggur dihukum penjara selama tiga tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu menculik serta mencederakan anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun, 9 Februari lalu.

Majistret R. Manomani menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abd. Rahim Osman, 35, mengekalkan pengakuan bersalah selepas dua pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara setahun bagi kesalahan menculik Wan Nur Ainul Darwisyah Amri dan hukuman penjara dua tahun serta dua sebatan bagi kesalahan mendatangkan kecederaan terhadap kanak-kanak perempuan terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

Manomani memerintahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan dijalankan bermula dari tarikh tangkap tertuduh iaitu pada 9 Februari lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd. Rahim didakwa menculik Wan Nur Ainul Darwisyah dengan mengurung mangsa secara salah di dalam sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini kira-kira pukul 6 petang, 9 Februari lalu.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa dengan menggunakan sebilah pisau di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Alif Farhan Hassan sementara tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Kosmo! pada 11 Februari lalu melaporkan seorang lelaki yang disyaki penagih dadah bertindak menjadikan anak saudara perempuannya berusia tujuh tahun sebagai tebusan selama kira-kira enam jam di dalam tandas sebuah rumah di Taman Serai Wangi, Padang Serai di sini. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN