IPOH – Seorang penganggur bakal berhadapan dengan hukuman gantung sampai mati selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki di Jalan Kantan, Buntong di sini tiga tahun lalu.
Tertuduh, Muhammad Firdaus Naim Thikayarajan, 24, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Fauzi.
Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Mengikut pertuduhan, lelaki terbabit didakwa membunuh M. Serentharan, 26, di belakang padang futsal berdekatan Jalan Kantan Buntong di sini antara pukul 9 hingga 10 malam 5 September 2016.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar manakala tertuduh diwakili peguam bela, Charan Singh.
Nurul Hafizah kemudian menetapkan 29 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE










