IPOH 24 Feb. – Sikap ibu bapa yang terpengaruh dengan gerakan kumpulan antivaksin menyebabkan pengambilan vaksin MMR untuk demam campak, beguk dan rubela dilaporkan menurun kepada 89 peratus.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye berkata, peratusan terbaharu itu bukan tahap yang selamat dalam mengekang wabak tersebut kerana untuk mencegahnya, ia perlu mencapai sasaran 95 peratus yang dilindungi menerusi suntikan vaksin berkenaan.
Justeru itu katanya, usaha bagi memberi kesedaran kepada ibu bapa mengenai kepentingan pengambilan suntikan vaksin terhadap anak mereka akan dipertingkatkan menerusi pelbagai program pendidikan dan penerangan.
“Untuk vaksin yang diberikan semasa bayi yang baharu lahir dan berusia sebulan, dua bulan atau tiga bulan, tidak ada masalah besar. Bagaimanapun untuk MMR yang kita berikan semasa bayi berusia sembilan bulan ada penurunan sedikit iaitu setakat 89 peratus.
“Ini bukan tahap yang kita rasakan selamat. Kita sasarkan sekiranya mahu mencegah demam campak misalnya, kita perlu sampai tahap sehingga 95 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Belon Gergasi dan Buku Risalah Jom Hapuskan Aedes di Klinik Kesihatan Greentown di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










