KUANTAN 25 Feb. – Peneroka di Felda Bukit Goh dan Felda Bukit Kuantan di sini yang sebelum ini terlibat dengan perjanjian bauksit berharap kerajaan dapat mempercepatkan kerja-kerja perlombongan bahan mineral itu selepas tempoh moratorium berakhir 31 Mac depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md. Sohaimi Mohamed Shah berkata, harapan itu dinyatakan peneroka terbabit kepadanya yang mengeluh ketiadaan punca pendapatan selepas aktiviti perlombongan bauksit dihentikan.
“Di Felda Bukit Goh, peneroka yang terlibat dengan perjanjian bauksit sebelum ini adalah 280 orang dan daripada jumlah itu, 200 orang kawasan ladang mereka sudah dilombong, 50 peneroka sawit di ladang mereka telah ditebang tetapi kerja mengorek bauksit belum dijalankan dan 30 orang kawasan ladang mereka belum diusik tetapi masih terikat dengan perjanjian.
“Ada peneroka yang datang mengadu kepada saya, sekarang pendapatan teruk ada yang RM50 sebulan dan kini bergantung kepada sumbangan anak-anak,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat ADUN Sungai Lembing di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatah Kampung (JKKK) Felda Bukit Goh, Jefri Salleh.
Baru-baru ini, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. Xavier Jayakumar berkata, tempoh moratorium terhadap kegiatan perlombongan dan pengeksportan bauksit dari negeri ini yang berakhir 31 Mac depan tidak dilanjutkan.
Menurut Xavier, semua aktiviti melombong dan pengeksportan bahan mineral berkenaan boleh diteruskan, namun dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu serta penguatkuasaan undang-undang lebih ketat.
Md. Sohaimi berkata, beliau juga menyeru kepada kerajaan negeri dan Pusat supaya mempercepat perlombongan bauksit selepas berakhirnya tempoh moratorium Mac ini.
“Bagaimanapun, perlombongan ini perlu dilakukan dengan SOP yang ketat supaya masalah antara debu merah yang berlaku sebelum ini tidak berulang, itu perlu dielakkan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE











