Penduduk desak hentikan projek kuari di Gunung Pulai - Utusan Malaysia

Penduduk desak hentikan projek kuari di Gunung Pulai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALING 9 Feb. – Lebih 200 penduduk dari Kampung Pulai, Kampung Sungai Limau dan Kampung Dalam Wang di sini, hari ini, mengadakan bantahan secara aman bagi mendesak kerajaan negeri menyatakan pendirian untuk membatalkan terus rancangan projek kuari batu di Gunung Pulai.

Dakwa mereka, biarpun kerajaan negeri dalam pertemuan dengan para penduduk sebelum ini, memberi jaminan tidak akan meneruskannya, namun status projek itu sehingga kini masih lagi tergantung.

Pengerusi Majlis Bertindak Bantahan Kuari Gunung Pulai, Mohd. Sabri Mahmud berkata, projek yang dirancang itu dikhuatiri akan menjejaskan kediaman penduduk ekoran letupan kuari, selain boleh merosakkan dusun tanaman yang diusahakan mereka.

“Maka itu, para penduduk terpanggil untuk meneruskan bantahan apabila kerajaan negeri dilihat seakan-akan berdiam diri dalam isu ini.

“Ketika kami mengadakan demonstrasi tahun lalu, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyatakan mahu menghentikan projek itu jika operasi kuari tersebut memudaratkan penduduk,” katanya selepas mengetuai bantahan itu.

Tambah Mohd. Sabri, pada 29 Januari lalu, wakil penduduk ada berjumpa dengan pihak syarikat sambil disertai agensi berkaitan dan wakil rakyat kawasan terbabit, namun tiada perkara dimuktamadkan ketika itu.

Menurutnya, jika projek terbabit dijalankan, mereka akan menerima nasib sama seperti penduduk Bukit Puyuh, di sini yang terjejas akibat masalah sama di kawasan itu.

“Penduduk sekitar Bukit Puyuh mengalami masalah habuk, keretakan rumah serta dijangkiti penyakit akibat dilanda banjir sisa kuari, kami tidak mahu kesengsaraan mereka sejak 1969 berlaku di sini pula,” katanya.

Kata Mohd. Sabri lagi, penduduk juga bimbang projek itu akan memberi kesan kepada ekosistem di 12 buah gua yang terdapat di Gunung Pulai dan habitat haiwan serta tumbuh-tumbuhan semulajadi.

“Malah, kami turut risau ia akan mencemarkan sungai berdekatan yang menjadi sumber bagi loji rawatan air untuk kegunaan kira-kira 7,000 penduduk di kawasan ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN