Pencarum sukarela bertambah - Utusan Malaysia

Pencarum sukarela bertambah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Peranan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebagai institusi keselamatan sosial semakin mendapat pengiktirafan rakyat Malaysia apabila hampir satu per tiga daripada pendaftaran ahli baharu KWSP sepanjang tahun lalu terdiri daripada pencarum sukarela.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Tunku Alizakri Alias berkata, daripada 532,360 individu yang berdaftar sebagai ahli baharu KWSP bagi 2018, sebanyak 98,874 individu berdaftar bagi Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) manakala 63,297 lagi berdaftar untuk Caruman Sukarela Insentif Suri (i-Suri).

i-Saraan dan i-Suri diper­kenalkan bagi membantu golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap seperti petani, pemandu teksi dan peniaga kecil serta suri rumah menikmati ke­selamatan sosial berkualiti selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati ahli KWSP.

“Lebih 30 peratus daripada pendaftaran ahli baharu KWSP adalah daripada golongan tidak formal seperti penjual online dan sebagainya, membuktikan tahap kesedaran rakyat sema­kin meningkat terhadap peranan dan kepentingansimpanan persaraan.

“Tahun lalu, kami telah be­kerjasama dengan syarikat Grab bagi menggalakkan pemandu mereka menyertai KWSP dan kami menjangkakan lebih ba­nyak kerjasama seperti ini.

“KWSP harus kekal relevan untuk rakyat Malaysia dan kami perlu menawarkan produk dan perkhidmatan baharu yang sesuai dengan gaya hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar berhubung pres­tasi KWSP untuk 2018 di ibu pejabat agensi tersebut di Jalan Raja Laut di sini semalam.

Sabtu lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.15 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.90 peratus untuk Simpanan Shariah, melibatkan agihan dividen bernilai RM47.31 bilion hasil pendapatan pelaburan kasar berjumlah RM50.88 bilion.

KWSP kini memiliki seramai 14.19 juta ahli dengan aset pelaburan bernilai RM833.76 bilion.

Sementara itu, mengulas mengenai ‘surat’ yang dihantar KWSP kepada AirAsia dan Malaysia Airports Bhd. (MAHB) baru-baru ini, Tunku Alizakri menjelaskan, ia hanyalah untuk menyatakan kebimbangan pihaknya selaku pelabur berhubung perbalahan antara ke­dua-dua entiti berkenaan sehingga menjadi pengetahuan umum.

“Kami bukan bertindak untuk menjadi pendamai bagi kedua belah pihak, kami hanya sebagai pelabur biasa yang bimbang dan berharap isu ini dapat diselesaikan segera.” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×