ADA dua kisah mengenai rokok yang ‘menarik’ minggu ini. Semuanya gara-gara pewartaan restoran atau premis makan sebagai tempat larangan merokok mulai 1 Januari 2019.
Selasa lalu, tujuh perokok beroleh kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Kementerian Kesihatan yang mewartakan semua tempat makan sebagai tempat larangan merokok.
Sehari sebelum itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap anggotanya yang didapati melanggar larangan merokok di premis makanan, seperti yang tular dalam media sosial Ahad lalu.
Beliau berkata, anggota polis berkenaan memakai pakaian beruniform dan kerajaan juga telah menguatkuasakan undang-undang larangan merokok.
“Tindakan tersebut tidak beretika dan itu merupakan satu perbuatan yang tidak boleh diterima,” katanya.
Tindakan tujuh perokok terbabit boleh dikategori sebagai paling berani.
Kesemua pemohon mendakwa larangan merokok itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan kerana merokok bukan suatu aktiviti jenayah dan atau diharamkan di negara ini dan sehubungan itu, aktiviti tersebut adalah sah dari segi undang-undang.
Mereka juga mendakwa, perokok mempunyai hak yang sama rata dengan golongan bukan perokok untuk mengunjungi dan menghabiskan masa di premis-premis makanan seberapa lama yang mereka inginkan.
Asas kepada larangan tersebut oleh kerajaan pastinya bagi melindungi hak rakyat negara ini yang tidak merokok. Sudah tentu mereka juga mahu menikmati makanan dengan tenang tanpa ‘diganggu’ hembusan asap rokok yang tidak mengenal sempadan dan ‘mencerobohi persekitaran’ mereka.
Kebimbangan itu ada asasnya kerana ‘perokok pasif’ iaitu orang yang tidak merokok tetapi berada di persekitaran perokok turut jadi mangsa.
Pada 14 Mei 2018, Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Dr. Selahuddeen Abd. Aziz semasa merasmikan sambutan Hari Tanpa Tembakau Sedunia peringkat negeri dan Program Nafas Baharu Ramadan di Ledang, berkata, kesedaran terhadap epidemik yang digelar wabak tembakau itu perlu dipertingkatkan kerana gejala itu ibarat wabak berjangkit yang menular tanpa mengira lapisan umur.
“Perkara yang lebih membimbangkan, 10 peratus daripada kematian enam juta orang pada setiap tahun akibat tembakau ini melibatkan pengguna asap rokok terpakai iaitu mereka yang tidak merokok tetapi terdedah kepada asap yang dihembus orang lain,” tegasnya.
Hukum merokok pula sudah jelas sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bagi kali ke-37 pada 23 Mac 1995 yang memutuskan tabiat merokok itu adalah haram mengikut pandangan Islam.
Yang menjadikannya haram adalah kesan mudarat dan bahayanya sehingga meruntuhkan lima asas utama (al-kulliyatul khams) atau maqasid syariah yang wajib dipelihara oleh setiap manusia iaitu agama, jiwa, maruah keturunan, akal dan juga harta.
Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang menyokong sepenuhnya larangan merokok di restoran dan premis makanan mendakwa kira-kira 4.7 juta perokok di negara ini menghembuskan lebih 60 jenis bahan kimia yang terdapat dalam asap rokok dan boleh menyebabkan kanser.
Ini mendedahkan 80 peratus rakyat Malaysia tidak merokok kepada bahan kimia yang bebas berterbangan dan dihembuskan ke persekitaran mereka.
Kita bukan menghalang golongan perokok datang ke premis makanan atau mahu bersembang dengan kawan-kawan. Yang kita minta adalah menghormati hak orang yang tidak merokok.
Lagipun kita ke kedai makan tujuannya untuk makan. Kalau nak merokok pergi ke tempat lain ataupun patuhi syarat tiga meter daripada premis makanan sebagaimana ditetapkan.
Perbuatan merokok di restoran menimbulkan rasa kurang selesa ‘jiran’ atau orang yang tidak merokok berdekatan kita. Yang lebih menggusarkan jika perbuatan itu termasuk dalam kategori mengabaikan hak jiran tetangga.
Ini dikuatkan lagi dengan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka janganlah dia menyakiti jiran tetangganya. (riwayat Al-Bukhari)
Menyakiti jiran bukan hanya bermaksud mencederakan tubuh badan mereka sebaliknya ia juga bermaksud menimbulkan rasa tidak selesa, tidak tenteram dan kurang senang dengan sikap kita yang berjiran dengannya.










