SEREMBAN – Seorang penagih dadah diberkas pihak polis semasa mahu mencuri patung berhala jenis tembaga di sebuah rumah di Kampung Datuk Mansor, Taman Seri Pulasan, Jalan Rasah dekat sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Thiew Hock Poh berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan selepas polis menerima maklumat awam mengenai kejadian pecah rumah di lokasi kejadian.
“Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban terima panggilan kecemasan daripada orang awam mengenai kejadian pecah rumah itu pada pukul 4.15 pagi.
“Beberapa buah kereta peronda polis (MPV) dihantar ke tempat kejadian. Anggota polis mendapati suspek berada dalam rumah tersebut apabila tiba di situ lalu menahannya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Hock Poh berkata, siasatan awal polis mendapati suspek cuba mencuri patung berhala
bernilai kira-kira RM300 yang digunakan oleh penghuni rumah berkenaan.
Kata beliau, pemilik rumah itu tiada di rumah semasa kejadian dan suspek yang positif dadah jenis Methamphetamine ditemui pihak polis sedang bersembunyi di bahagian ruang dapur.
Menurut beliau, suspek ditahan reman selama empat hari sehingga 27 Februari ini bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah rumah.
Beliau bagaimanapun menafikan kes tersebut mempunyai kaitan dengan kes pihak tidak bertanggungjawab meletak patung berhala di surau di Klang, Selangor baru-baru ini.
“Siasatan setakat ini mendapati kes ini tiada apa-apa kaitan dengan mana-mana kes lain,” katanya. – K! ONLINE










