KLANG – Seorang pemuzik sambilan mati dipukul menggunakan cota oleh dua individu termasuk menantu kekasihnya dalam kejadian di Taman Sentosa di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 malam, mangsa dikenali Radha berusia 64 tahun mati di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pembunuhan itu terbongkar susulan panggilan dilakukan seorang wanita yang juga suspek berusia 38 tahun terhadap pihak polis pukul 8.30 malam, Isnin lalu.
Katanya, menerusi panggilan itu suspek memaklumkan telah bertengkar dengan teman lelaki ibu mertuanya di sebuah rumah di Tamam Sentosa di sini.
“Sepasukan anggota polis yang bergegas ke lokasi kejadian menemui mayat mangsa dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian tanpa kasut dengan kesan cedera di belakang kepalanya dipercayai dipukul senjata tumpul di tepi jalan taman itu.
“Hasil siasatan mendapati wanita terbabit yang merupakan penjual minuman mengaku bersama seorang pekerjanya lelaki warganegara India membunuh mangsa menggunakan cota,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Menurut beliau, serentak itu, polis kemudiannya menahan suspek di lokasi kejadian kira-kira pukul 8. 45 malam.
Shamsul menambah, soal-siasat terhadap suspek wanita itu kemudiannya membawa penahanan pekerja lelakinya berusia 24 tahun di Jalan Besar Pandamaran, di sini pukul 3.30 petang, semalam
“Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk dibedah siasat.
“Motif kejadian disebabkan suspek wanita tidak berpuas hati terhadap mangsa kerana disyaki menjadi teman lelaki kepada ibu mertuanya,” katanya.
Ujar beliau, bapa mertua suspek wanita dikatakan telah meninggal dunia beberapa tahun lalu sebelum mangsa dipercayai menjalinkan hubungan cinta dengan ibu mertuanya.
“Suspek wanita itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam dan permohonan reman terhadap seorang lagi suspek lelaki akan dilakukan di Mahkamah Klang pagi ini.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” – K! ONLINE.










