KUALA LUMPUR 24 Feb. – Pergerakan Pemuda UMNO dan Dewan Pemuda Pas secara sepakat mendesak pihak Peguam Negara segera mendakwa pemilik akaun Facebook, Foo Sing Wei yang dibebaskan atas jaminan polis setelah ditahan kerana memuat naik status menghina Nabi Muhammad SAW.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Dewan Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam kenyataan bersama berkata, perbuatan Sing Wie itu bukan sahaja telah mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.
Kedua-dua mereka berkata, Pemuda UMNO dan Pemuda Pas tidak teragak-agak untuk kembali menggerakkan rakyat berhimpun secara aman di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia bagi menzahirkan rasa tidak puas hati sekiranya wujud sikap pilih kasih dan tindakan sambil lewa terhadap penjenayah yang menghina Islam dan Nabi Muhammad.
“Perbuatan tersebut jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori hingga lima tahun.
“Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap junjungan mulia Nabi Muhammad SAW adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja,” kata Asyraf Wajdi dan Muhammad Khalil dalam kenyataan itu hari ini.
Pemuda UMNO dan PAS juga meminta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar memaklumkan status terkini siasatan kepada rakyat terutama umat Islam yang amat marah dan beremosi dengan isu ini.
“Justeru sekali lagi kami mendesak agar pihak Peguam Negara segerakan pertuduhan terhadap pelaku di mahkamah dan mendakwa beliau di bawah Kanun Keseksaan.
“Ia bagi memberi isyarat tegas bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu yang tidak boleh dikompromikan dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang,” kata dua ketua pemuda itu. – UTUSAN ONLINE










