Pemandu jengkaut didakwa ceroboh, curi pokok getah - Utusan Malaysia

Pemandu jengkaut didakwa ceroboh, curi pokok getah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA 25 Feb. – Seorang pemandu jengkaut dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh dan mencuri pokok getah di sebuah kebun di Tanjung Minyak di sini, dua tahun lalu.

B. Sundranmuthy, 40, mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim. 

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh bersama tiga orang yang masih bebas didakwa menceroboh tanah milik Lee Kim Tian, 55, di lot tanah 135 dan 136, Mukim Tanjung Minyak kira-kira pukul 2.45 petang pada 5 Oktober 2017. 

Dia didakwa mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. 

Bagi pertuduhan kedua, Sundranmuthy bersama tiga lagi yang masih bebas didakwa mencuri pokok getah milik Kim Tian pada tarikh, waktu dan tempat yang sama. 

Bagi pertuduhan ini, dia boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 dikenakan terhadap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan. 

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh merayu jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya hanya berpendapatan RM2,300 sebulan sebagai pemandu jengkaut dan perlu menanggung adik-beradik yang masih belajar.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,700 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 3 April depan sebagai sebutan semula kes. Tertuduh kemudian membayar jaminan tersebut.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN