MELAKA – Seorang pemandu jengkaut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menceroboh kawasan dan mencuri pokok getah pada dua tahun lalu.
Tertuduh, B. Sundranmuthy, 40, membuat pengakuan itu sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh bersama tiga orang yang masih bebas didakwa melakukan pencerobohan tanah milik Lee Kim Tian, 55, kira-kira pukul 2.45 petang di lot tanah 135 dan lot 136, Mukim Tanjung Minyak pada 5 Oktober 2017.
Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM3, 000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa telah mencuri pokok getah milik mangsa sama pada waktu, tempat dan tarikh sama. Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana manakala tertuduh diwakili Peguam Sheikh Ikhzan Sheikh.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2, 700 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan tarikh 3 April depan sebagai sebutan semula kes. – K! ONLINE










