PETALING JAYA – Seorang individu rentung selepas kereta dipandunya hangus terbakar dalam satu kemalangan di Jalan PJU 1A/1 menghala ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTAAS) di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asistan Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, pihaknya dimaklumkan tentang kejadian sekitar pukul 4.50 pagi dan siasatan awal mendapati kereta jenis BMW yang dipandu mangsa telah melanggar sebatang pokok lalu terbakar.
“Kebakaran tersebut telah mengakibatkan kereta BMW itu serta mangsa yang berada di dalamnya hangus 100 peratus dan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petaling Jaya mengambil masa kira-kira 15 minit untuk memadamkan api yang marak.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenalpasti identiti mangsa yang maut, nombor pendaftaran kereta serta mengesan waris mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zani, mayat mangsa seterusnya dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.
“Kejadian ini kini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelas beliau. – K! ONLINE










