Pemancing nyaris maut terkena peluru sesat - Utusan Malaysia

Pemancing nyaris maut terkena peluru sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERANG – Seorang lelaki nyaris maut akibat terkena peluru sesat ketika mahu berehat selepas memancing bersama dua rakannya di kawasan Caruk Jek di Tasik Pedu di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu berlaku ketika mangsa, Mat Zaki Mat Diah, 44, sedang memasang buaian (hammock) sebelum terkena tembakan pada dada kanan.

Dua rakannya berusia 53 dan 23 tahun ketika kejadian masing-masing sedang tidur dan mandi di tebing tasik.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Noh Idris berkata, dua lelaki tersebut terkejut apabila mendengar mangsa melaungkan Allahuakhbar sambil mengerang kesakitan.

“Mangsa ditemui terbaring di atas tanah dengan keadaan berlumuran darah di sebelah kanan dada.

“Dua rakannya itu terus membawa mangsa keluar dari kawasan tasik tersebut dengan sampan seterusnya dikejarkan ke Hospital Kuala Nerang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, mangsa yang bekerja sendiri itu kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar dan imbasan X-ray menemui benda asing disyaki anak peluru di dalam badan sebelah kiri mangsa.

“Kita masih menyiasat dari mana peluru itu dilepaskan dan ia mungkin daripada pemburu yang memburu di kawasan hutan tersebut,” ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×