Pemain Perlis buat laporan polis - Utusan Malaysia

Pemain Perlis buat laporan polis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 25 Feb. – Seramai tujuh pemain Perlis Northern Lions II, hari ini, membuat laporan polis bagi meminta siasatan dijalankan terhadap bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie kerana didakwa menipu kontrak mereka.

Laporan sama turut meminta siasatan dijalankan terhadap Timbalan Presiden PFA yang kini menggalas tugas Presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan kerana didakwa menyeleweng wang para pemain.

Laporan kedua-kedua kejadian tersebut yang berlaku tahun lalu itu, dibuat di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar, kira-kira pukul 11.30 pagi.

Bekas Kapten Perlis Northern Lions II, Ezzrul Ikmanizar Abd. Rahman, 30, yang mewakili rakan-rakannya berkata, kontrak yang dinyatakan itu melibatkan 18 pemain pasukan itu musim 2019, dalam satu majlis di sini, pada Oktober tahun lepas.

Menurutnya, pada majlis itu, kesemua pemain diarah menandatangani kontrak yang me­ngandungi terma pembayaran gaji musim ini bersama tunggakan musim lalu, selama enam bulan.

“Namun, selepas pelbagai kemelut yang berlaku, Presiden PFA bukan sahaja tidak membayar gaji (seperti terma kontrak) tetapi juga mendedahkan bahawa kontrak itu tidak sah kerana beliau (Ahmad Amizal Shaifit) tidak menandatanganinya ketika dalam satu perjumpaan di Kangar, 25 Januari lalu.

“Justeru, kami berasa ditipu kerana sepanjang tempoh itu (Disember hingga Januari), kami turun latihan dan tidak berhijrah ke pasukan lain ke­rana terikat kontrak tersebut tetapi sebenarnya tidak wujud,” katanya.

Ezzrul Ikmanizar seterusnya memberitahu, laporan terhadap Mohd. Abdul Karim Khan pula adalah berkaitan kutipan wang berjumlah lebih RM11,000, tahun lalu daripada para pemain, kononnya untuk membayar barisan kejurulatihan.

“Pada mulanya, kami tidak bersetuju kerana pemain juga tidak menerima gaji tetapi akhir­nya terpaksa mengikut juga arahan itu. Tetapi apa yang mengejutkan apabila semakan mendapati barisan kejurulatihan tidak pula menerima sebarang bayaran,” katanya.

Ketua Polis Daerah, Supe­rintenden Wari Kiew ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan tersebut yang disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri.

Sebelum ini, Ketua Polis ne­geri, Senior Asisten Komisioner Noor Mushar Mohd. mengalu-alukan laporan polis bagi membolehkan siasatan terhadap Ahmad Amizal Shaifit. Warganet yang terdiri daripada para penyokong PFA turut menggesa Ahmad Amizal Shaifit agar segera meletak jawatan atas pelbagai masalah yang melanda pasukan itu.

Ezzrul Ikmanizar adalah antara 11 pemain Northern Lions II yang mendedahkan nasib mereka yang terpaksa membuat kerja sambilan setelah tidak dibayar gaji tujuh bulan, pada musim lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN