Pelantikan Azmin mampu kukuhkan ekonomi wanita Kelantan - Utusan Malaysia

Pelantikan Azmin mampu kukuhkan ekonomi wanita Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 2 Feb. – Pelantikan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTNg) Kelantan diyakini mampu memperkasakan lagi ekonomi golongan wanita di negeri ini pada masa hadapan.

Ketua Wanita PKR, Haniza Mohamed Talha berkata, pihaknya menyambut baik sepenuhnya pelantikan tersebut.

“Saya melihat pelantikan ini mampu memperkukuhkan lagi usaha kita mengangkat peranan golongan wanita dalam mengembangkan lagi sektor ekonomi negeri.

“Besar harapan kita, untuk melihat wanita menjadi tonggak dalam menggerakkan pembangunan negeri kelantan pada masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu perlantikan Mohamed Azmin ke jawatan tersebut yang dilihat mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) Kelantan.

Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Wanita Keadilan 2019 Zon Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) di sini hari ini.

Utusan Online semalam melaporkan, Amanah negeri ini membantah pelantikan Timbalan Presiden PKR itu sebagai Pengerusi MTNg Kelantan sebagaimana diumumkan Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Biro Politik Amanah negeri yang mengadakan mesyuarat khas turut meminta Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersuara bagi pihak mereka untuk mendesak supaya keputusan melantik Mohamed Azmin dikaji semula. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×