PORT DICKSON 24 Feb. – Pelan Induk Pembangunan Port Dickson yang bertujuan membangunkan daerah ini secara komprehensif dijangka mengalami sedikit pengubahsuaian.
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengubahsuaian itu disebabkan beberapa projek besar baharu membabitkan sektor pelancongan dan infrastruktur mahu dilaksanakan di daerah ini.
“Menteri Besar Negeri Sembilan, Exco berkaitan dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Port Dickson akan memberikan ruang sepenuhnya untuk diberikan input walaupun ia sudah hampir tamat untuk dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Sambutan Perayaan Ponggal 2019 peringkat Parlimen Port Dickson di Bandar Springhill, Lukut di sini hari ini.
Pelan tersebut mengadunkan program pembangunan Port Dickson secara holistik, mesra alam dan mampan.
Pada 29 Disember lalu, Anwar memaklumkan, Port Dickson akan mempunyai pelan struktur lengkap dan menyeluruh secara besar-besaran dalam usaha mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan utama.
Pelan tersebut akan menyaksikan beberapa projek pembangunan akan dibina di sini antaranya dua buah hotel bertaraf lima bintang, pusat perdagangan dan medan selera bersaiz besar.
Sementara itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau belum diputuskan dan perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan. – UTUSAN ONLINE










