Pelajar perempuan maut kemalangan - Utusan Malaysia

Pelajar perempuan maut kemalangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG 24 Feb. – Seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang dalam perjalanan ke sekolah maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta di KM79, Jalan Johor Bahru – Ayer Hitam di sini awal pagi ini.

Dalam kejadian 6.40 pagi itu, mangsa, Siti Maisarah Safari, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Rahman Andak, dekat Simpang Renggam meninggal dunia di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd. Abduh Ismail berkata, semasa kejadian, mangsa yang berasal dari Taman Murni Jaya, Machap dekat sini menunggang motosikal sendirian.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila pemandu kereta Perodua MyVi yang datang dari arah Johor Bahru menghala ke Air Hitam memotong sebuah kenderaan pacuan empat roda dan masuk ke laluan bertentangan, laluan yang dilalui mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Tambahnya, mangsa tidak dapat mengelak kenderaan tersebut dan akibat pelanggaran itu, pelajar perempuan tersebut meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Perubatan Forensik, Hospital Enche Besar Hajjah Kalsom di sini untuk proses dokumentasi dan bedah siasat.

Sementara itu, Mohd. Abduh memberitahu, pemandu kereta yang berusia 41 tahun dan berasal dari Kampung Batu 7, Simpang Renggam tidak mengalami sebarang kecederaan, kini ditahan untuk membantu siasatan. 

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1), Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN