KUALA LUMPUR 5 Feb. – Kekuatan UMNO tidak boleh hanya bergantung kepada kelemahan Pakatan Harapan (PH), apatah lagi dipengaruhi pelbagai ramalan seperti dibuat oleh Fitch Solutions Macro Research.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah menegaskan, ramalan firma penyelidikan itu bahawa populariti PH akan menurun dalam tempoh beberapa bulan akan datang tidak harus membuatkan pimpinan UMNO di pelbagai peringkat terpengaruh untuk berasa selesa.
Sebaliknya, kata beliau, UMNO mesti terus meyakinkan rakyat bahawa parti tersebut mampu untuk melaksanakan dasar yang terbaik pada rakyat jika diberikan semula kuasa.
Malah, UMNO mesti terus berjuang membela dan menyuarakan isu dan masalah rakyat yang ketika ini tertekan dengan kegagalan kerajaan PH membela rakyat.
“Dalam keadaan apapun, UMNO mesti terus diperkukuhkan. Semua kita mesti terus bekerja dan berusaha memulih serta memperkasakan UMNO.
“Sasaran kita adalah untuk kembali berkuasa dengan memenangi pilihan raya. Oleh itu UMNO mesti kuat sebab kita tahu bahawa ketika ini rakyat kecewa dengan kerajaan PH yang gagal membawa pembaharuan kononnya melalui pendekatan Malaysia Baharu mereka.
“Jadi, kita mesti mengubati kekecewaan rakyat dengan membela mereka,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru, kata Shamsul Anuar lagi, apa yang perlu UMNO lakukan ialah terus mendekati rakyat dan memperjuangkan kepentingan mereka.
“Saya yakin jika terus bersatu padu serta UMNO terus berjuang dan membela rakyat, percayalah rakyat akan bersama kita,” kata beliau. – UTUSAN ONLINE










