KLANG – Tindakan pantas Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya memberkas lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang baharu lima jam menyeludup masuk ke negara ini di Pulau Ketam, di sini semalam.
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi itu, kesemua PATI yang ditahan termasuk tiga wanita berkenaan berusia 23 hingga 46 tahun.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, siasatan awal mendapati lapan PATI tersebut tiba di pulau tersebut pukul 4 pagi melalui jalan tikus dengan menaiki bot dari Tanjung Balai, Indonesia.
Katanya, bayaran yang dikenakan oleh penyeludup kepada seorang PATI adalah sebanyak RM800.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota diarahkan melakukan penangkapan ke atas warga asing tersebut yang bersembunyi di beberapa lokasi di sekitar pulau berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lapan mereka tidak memiliki sebarang dokumen sah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.
Beliau menambah, hasil pemeriksaan turut mendapati kesemua PATI adalah berasal dari Medan, Indonesia.
Jelas Khairuddin, pihak tidak menolak PATI berkenaan kemudiannya akan bergerak ke bandar di sekitar daerah ini untuk bekerja secara haram dengan menaiki feri dari pulau tersebut.
“Kelapan-lapan PATI berkenaan kemudiannya telah dibawa ke markas operasi PPM Pelabuhan Klang untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya. – K! ONLINE










