MARANG 24 Feb. – Kerajaan negeri sentiasa mengutamakan soal kepentingan serta kesan kepada alam sekitar dalam melaksanakan apa juga projek pembangunan demi kesejahteraan rakyat.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memberitahu, ia penting bagi memastikan tahap kehidupan rakyat di negeri ini sentiasa baik dengan suasana persekitaran indah dan berkualiti tanpa sebarang pencemaran.
“Untuk mengekalkan keseimbangan alam sekitar, kita tetapkan mana-mana projek yang dilaksanakan sama ada di peringkat Pusat atau diuruskan kerajaan negeri di Terengganu, faktor alam sekitar menjadi pertimbangan asas yang sangat penting.
“Sebab itulah kita lihat Terengganu masih lagi memiliki suasana agak baik dari segi alam sekitarnya, tiada jerebu manakala sungai- sungainya pula lebih baik berbanding tempat lain.
“Keadaan ini sudah tentu menuntut kita agar memberikan penekanan serius dalam menjaga alam sekitar,” katanya ketika ditemui selepas sesi dialog sempena program MB Mari Kampung Kite di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM) di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Yahaya Ali.
Sementara itu, ketika menjawab soalan penduduk dalam sesi dialog, Ahmad Samsuri turut mengajak orang ramai untuk sama-sama membantu kepemimpinan kerajaan negeri dalam membangunkan Terengganu dengan memberikan maklum balas serta kerjasama sewajarnya demi kepentingan bersama.
Pada masa yang sama beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang berjanji akan cuba memikul amanah diberikan rakyat dalam menyelesaikan pemasalahan dihadapi rakyat.
“Insya Allah, kita akan sama sama membangunkan daerah ini dan meneruskan mana-mana projek yang boleh memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Antara projek yang bakal dilaksanakan termasuklah pembinaan bilik sejuk untuk kemudahan nelayan daerah ini, projek pembinaan 1,000 unit rumah murah kos rendah di Pulau Kerengga dan pembinaan Kompleks Stadium Mini berharga RM4 juta yang dibiayaii kerajaan Pusat.
Beliau juga mengumumkan kelulusan segera penyaluran bekalan air paip kepada nelayan di hujung Kuala Seberang Marang dan Pantai Kampung Paya yang berjumlah RM170,000. – UTUSAN ONLINE











