MELAKA 24 Feb. – UMNO dan Pas akan terus berjuang mengikut cara dan pendekatan masing-masing namun pada masa yang sama memfokuskan kepada satu matlamat iaitu penyatuan umat Islam dan Melayu.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun kedua-dua parti itu melalui satu tempoh yang panjang dalam menegakkan perjuangan masing-masing namun tidak dapat disangsikan UMNO dan Pas umpama adik-beradik yang tidak boleh dipisahkan.
“Sejak sekian lama, Pas dan UMNO sering berbeza pendapat dalam banyak hal tetapi perjuangan kedua-dua parti tetap sama iaitu mempertahankan maruah dan kepentingan umat Islam serta Melayu.
“Kita (UMNO dan Pas) perlu bersatu semula sebagai adik-beradik, kita hilang kekuatan kerana kita berpecah-belah jadi mulai sekarang kita berjuang dengan cara masing-masing tapi matlamat kita tetap satu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah perdana anjuran bersama Pas dan UMNO Melaka bertajuk ‘Islam Memimpin’ di Dewan Muallim Bukit Katil, di sini malam ini.
Yang turut hadir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamaruddin Sidek dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh. – UTUSAN ONLINE










