Pas tiada muslihat, sokong PM demi kepentingan negara - Utusan Malaysia

Pas tiada muslihat, sokong PM demi kepentingan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 21 Feb. – Sebarang bentuk sokongan Pas kepada kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika kedudukan beliau itu diganggu gugat mana-mana pihak dibuat tanpa sebarang muslihat, sebaliknya demi kepentingan negara dan rakyat.

Menurut Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan, sokongan kepada Dr. Mahathir juga tidak ada kena mengena dengan dakwaan sesetengah pihak kononnya bagi ‘menyelamatkan’ Pas daripada isu RM90 juta yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ini kerana Pas telah memberikan sepenuh kerjasama kepada SPRM untuk membuat siasatan terperinci, termasuk mengarahkan pemimpin yang dikaitkan dengan tohmahan tersebut memberikan kenyataan.

“Dalam hal ini Pas yakin SPRM akan membuat dapatan (finding) mereka dalam kadar yang segera berdasarkan hasil siasatan yang telus, profesional dan adil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Takiyuddin dalam pada itu berkata, sama ada berbentuk kenyataan atau perbuatan termasuk luahan hati Tun Mahathir sendiri, tindak-tanduk pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekarang memberi gambaran bahawa wujudnya ‘Clash of Titans’ dalam kalangan pimpinan PH terhadap Dr. Mahathir.

Di samping itu kata beliau, wujud juga unsur ketidapatuhan atau ‘insubordination’ yang jelas terhadap polisi dan arahan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

“Justeru Pas tidak boleh dipersalahkan berikutan tanggapan mengenai perkara itu, malah menggesa pimpinan utama PH sendiri memberi pencerahan berhubung insiden dan desas-desus tentangnya yang menjadi punca kekeliruan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN