Pas terpaksa bayar RM1.4 juta - Anwar - Utusan Malaysia

Pas terpaksa bayar RM1.4 juta – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HULU LANGAT 28 Feb. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan Pas terpaksa membayar sebanyak RM1.4 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown berhubung penyelesaian luar mahkamah kes saman fitnah difailkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anwar malah mendakwa mempunyai dokumen transaksi bank melibatkan pembayaran berkenaan namun hanya akan mendedahkannya sekiranya Pas terus mencabar beliau. 

“Semalam saya tanya pimpinan Pas sebab saya nak test (uji) sahaja, tapi semua kata tidak. Nama saya Anwar Ibrahim, kalau saya tiada fakta saya takkan lawan. Memang ada bukti Pas khususnya atas nama Abdul Hadi terpaksa membayar RM1.4 juta kepada Rewcastle-Brown. 

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya nak bagitahu kalau boleh Pas diam sahaja lah. Soal mereka cerita kepada ahli-ahli tak ambil duit daripada UMNO. Tak betul. Tak bayar Rewcastle-Brown. Tak betul. Kalau mereka cabar (lagi), saya nak tunjuk kenyataan daripada bank. Bank mana? Nanti dulu,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berceramah sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Terminal Bas Semenyih, di sini malam tadi. 

Kelmarin, Anwar dalam sidang akhbar selepas memberi ucaptama di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan Antarabangsa Pulau Pinang mencabar Pas untuk menjelaskan sama ada parti itu membayar RM1 juta kepada Rewcastle-Brown sebagai kos untuk menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.

Abdul Hadi memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown di Mahkamah Tinggi London pada 21 April 2017 berhubung laporan Sarawak Report pada 6 Ogos 2016 yang mendakwa dana RM90 juta dimasukkan ke akaun pimpinan Pas sebagai usaha menarik sokongan parti itu menyokong Barisan Nasional (BN) dan UMNO. 

Presiden Pas itu kemudiannya menarik balik saman tersebut awal bulan ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini