SEREMBAN – Pas Negeri Sembilan membuat laporan polis bagi mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas keatas individu yang menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Laporan itu dibuat oleh Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat Pas Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban di sini kira-kira pukul 10 pagi tadi.
Pemangku Pesuruhjaya Pas negeri, Rafiei Mustapha berkata, polis perlu bertindak profesional dalam isu tersebut supaya agama Islam dihormati oleh semua pihak.
“Kami mendesak kerajaan bersikap tegas dengan penghinaan terhadap Allah, Rasulullah dan Islam di media bertulis atau media maya.
“Ini selaras dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama rasmi yang perlu dihormati, dipelihara dan dijaga sebaik-baiknya,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis hari ini.
Rafiei berkata, dua pemilik akaun media sosial Facebook didapati melakukan penghinaan ke atas Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Kata beliau, penghinaan itu dibuat oleh pemilik akaun Facebook Foo Sing Wai dalam satu hantaran pada 18 Februari lalu.
Menurut beliau, manakala pemilik akaun Facebook Sally Yen pula telah membuat komen yang menghina Islam.
“Pas mengharapkan keamanan dan kestabilan negara terjamin dengan tindakan tegas dan profesional oleh polis dan kerajaan,” katanya. – K! ONLINE










